Walau dimana dikau berada, walau apa yang dikau kerjakan, walau apa jua yang dikau kecapi... kejayaan mahupun kegagalan... cuba kau fikirkan sejenak. Tundukkan kepalamu... dibawah adalah bumi yang menghampar, saujana mata memandang. Kemudian, kau dongakkan pula kepalamu... di atas adalah langit yang memayungi dunia. Subhanallah... begitu indah ciptaan Allah, berkuasa mentadbir alam yang fana ini.
Selagi mana kau dapati dua perkara ini, maka sedarlah apa yang kau perolehi adalah bersifat sementara. Walau sebanyak mana kekayaan yang kau himpunkan.. dengan murka Allah... bererti engkau miskin. walau setinggi gunung kejayaan yang engkau raih... tanpa redha Allah... beerti engkau telah gagal dengan erti kegagalan yang sebenar.
Aduhai sahabat...
Setelah langit digulung, setelah bumi hancur luluh... dan... apabila kau pandang kiri dan kananmu, akan kau dapati satu Majlis Konvokesyen terbesar , yakni Majlis Perhitungan dilansungkan. Ketika itu, keadaan penentu nasibmu, amalan penentu timbanganmu. Andai keadilan mengatakan Allah redha, maka kau beraja di syurga. Jika keadilan mengatakan Allah murka, natijahnya.. . nerakalah tempat kau kembali. Segala yang diputuskan, bergantung kepada semaianmu di dunia ini.
Aduhai sahabat...
Syurga di akhirat menagih keperitan dunia. Neraka di akhirat menjanjikan keasyikan dan kenikmatan dunia. Keliru...??? Jangan engkau keliru memilih hala tujumu wahai sahabat. jangan terperdaya memilih pendampingmu. Antara bisikan syaitan dan dorongan malaikat... dapatkah kau bezakan...?? ?
Aduhai sahabat...
Jangan biarkan dirimu terus keliru, hingga tanpa sedar, kau memilih syaitan sebagai teman setiamu... kerana syaitan menggunakan senjata nafsu yang mengemudi hatimu. Kekuatan malaikat yang mendorong hala tujumu, adalah bergantung kepada iman yang menunjangi hatimu. Apabila iman beraja di hati... ia pasti memandu akalmu untuk memilih jalan yang lurus.
Aduhai sahabat...
Bina dan tingkatkanlah imanmu dengan ilmu. Mantapkanlah ia dengan istiqomah pada amalan. Hiasi pula dengan silaturrahim sepanjang zaman. Berjalanlah dalam satu ukhuwwah Islamiyyah yang dibentuk melalui penyatuan aqidah. Jangan biar dirimu hanyut dan leka... hingga akhirnya kau menjadi mangsa kerakusan nafsu yang memburu saban waktu.
Selagi mana nadi berdenyut jantung berdegup... selagi mana roh dan jasad bersatu... selagi itulah kau perlu berusaha sehabis daya untuk menempah mahligai indah di syurga abadi, yang berkuncikan redhaI lahi kerana keredhaan Ilahi adalah kejayaan hakiki. dan... hanya itu matlamat kita selama mendiami bumi yang fana ini.
"Hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah kepada mungkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya" ( al-Imran : 104 )
Ikhlas dari Sahabat yg menyayangimu.
No comments:
Post a Comment